MAAMOR Jantan bukan sekadar seorang pemuzik keroncong yang berbakat tetapi juga merupakan seorang pelukis cat air yang dikenali.
Kebolehan istimewanya itu sering memberi laluan kepadanya menjayakan dua tugasan pada satu masa; menjayakan pameran solo dan sekali gus membuat persembahan keroncong bagi memeriahkan majlis perasmian pameran itu.
Bagi Maamor, 35, kedua-dua bidang seni itu membawa pengertian yang bermakna dalam hidupnya.
Katanya: Irama keroncong semakin hilang ditelan zaman. Sesuatu harus dilakukan agar irama yang menjadi salah satu seni bangsa itu tidak pupus begitu sahaja. Untuk itulah saya terus setia mengalunkannya pada setiap kesempatan yang diberikan.
Sebagaimana gigihnya dia memperjuangkan irama itu, begitu jugalah kegigihannya meneruskan perjuangan sebagai seorang pelukis sejak 1985.
Maamor ditemui di studionya, Galeri Anggerik, Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Antara karya menariknya yang dipamerkan ialah Siri Keroncong, Pesona Melodi, Ke Pura dan Siri Pepatung.
Karya Ke Pura memaparkan kebudayaan Hindu di Bali, Indonesia.
Saya tertarik dengan cara mereka membawa peralatan untuk bersembahyang, jelas Maamor tentang Ke Pura.
Siri Pepatung pula mengenengahkan kehidupan pepatung yang indah dan mengalami pusingan hidup yang begitu lama.
Pepatung yang berwarna warni amat cantik dan ia mudah rapuh apabila terdedah dengan persekitaran kehidupan, kata pelukis kelahiran Kulim, Kedah ini.
Menurut Maamor, Siri Keroncong pula mengenengahkan seni persembahan yang popular pada zaman 1950-an.
Seni keroncong sering dimainkan di kampung-kampung. Saya lakarkan keroncong di atas kertas kerana ia merupakan muzik yang diminati pada suatu waktu dulu.
Malangnya perkembangan muzik moden sekarang menjadikan keroncong semakin hilang di telan zaman, kata Maamor.
Karya Pesona Bali pula mengenengahkan kecantikan Bali yang menjadi salah satu tempat menarik untuk dilawati di Indonesia.
Orang yang datang melawat Bali pasti kagum dengan keindahannya dan kerana itu saya abadikan pada karya ketika saya pergi melancong ke Bali, tambahnya.
Jelas Maamor, sebuah karyanya Malam Gemilang telah memenangi hadiah penghargaan pada Pertandingan Lukisan Cat Air Nasional Putrajaya Pertama 2006 baru-baru ini.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sastera&pg=sa_01.htm#ixzz5A07jDMNG
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment